Sewaktu berbicara pelbagai topik dengan beberapa rakan-rakan senegara di sini, timbul satu soalan daripada mereka. Kata mereka, kerajaan telah membazir wang untuk membiayai penyelidikan di universiti-universiti tempatan (Malaysia). Hujah mereka, hasil penyelidikan yang memakan belanja yang mahal tidak dapat dikomersialkan.
Mungkin ramai di luar sana turut mempunyai pendapat yang sama. Saya pernah menjadi kumpulan yang sama sebelum menyertai dunia penyelidikan. Bagi saya isu / persoalan ini timbul bila mereka tidak memahami apa itu sains, dan apa itu teknologi. Kita boleh berbicara lebar dalam mendefinisikan istilah kedua-duanya, tapi ini bukan tujuan saya.
Bagi mereka yang belum tahu, saya ingin menerangkan tentang fungsi penyelidikan dalam dunia pengetahuan. Penyelidikan boleh dikategorikan dalam dua aras yang paling utama:
1) meneroka ilmu baru.
2) aplikasi dan memberi impak pada peringkat umum.
Di peringkat universiti, penyelidikan lebih tertumpu kepada aras pertama - penerokaan ilmu baru atau lebih dikenali sebagai penyelidikan asas @ fundamental. Penyelidikan sebegini lebih menjurus kepada objektif untuk menjawab persoalan asas dalam sains dan didorong oleh sifat ingin tahu (curiosity). Contohnya, di Geneva Switzerland, 8000 saintis dan jurutera di CERN berusaha untuk merungkai misteri partikel Higgs. Bagi masyarakat umum, misteri partikel Higgs ini tidak memberi apa erti kepada mereka, dan mungkin mereka menganggap inilah kerja membazir @ gila di mana lebih RM 25 billion telah dibelanjakan untuk membina mesin yang sepanjang 27 km untuk mengesan partikel tersebut.
Tapi, sekiranya partikel tersebut dapat dibuktikan, ianya akan mengubah pengertian sains mengenai kejadian alam semesta. Lebih lengkap lagi, ianya mungkin bakal mengubah asas kepada sains yang kita fahami pada hari ini. Pada kebiasaanya penemuan ini akan dilaporkan di dalam jurnal / seminar teknikal yang dinilai oleh pakar dalam bidang tersebut. Mungkin masyarakat akan bertanya, apa impaknya kepada umum? Jawapannya mudah - dengan memahami asas sesuatu ilmu, pelbagai teknologi yang memberi impak kehidupan manusia boleh dibina. Satu perkara kita jangan lupa, teknologi laman web yang menjadi keperluan masyarakat moden berasal dari CERN! :-). Secara ringkasnya, penemuan bidang asas (seperti matematik, kimia, fizik, biologi) boleh mempengaruhi perkembangan teknologi yang akan digunakan oleh masyarakat.
Aras kedua dalam penyelidikan adalah bersifat gunaan / teknologi yang lebih terarah untuk menjawab persoalan yang lebih spesifik seperti bagaimana untuk membina sesuatu sistem/aplikasi untuk menyelesaikan masalah pada skop tertentu. Penyelidikan ini lebih terarah untuk menghasilkan produk @ prototaip yang mempunyai potensi untuk diguna pakai. Kebiasaannya penyelidikan sebegini wujud di makmal yang berorientasikan kejuruteraan dan teknologi. Contohnya, sekiranya satu model matematik mengenai bagaimana manusia boleh mengenal corak telah dapat dibina oleh penyelidik dalam bidang matematik / sains komputer, penyelidik dalam aras ini akan menggunakan model tersebut untuk membina sistem bagi mengenal suara, huruf, tandatangan dan sebagainya. Berdasarkan perkembangan semasa, dapat disimpulkan penyelidikan asas memberi impak kepada penyelidikan gunaan. Hasil daripada penyelidikan sebegini lebih dekat kepada masyarakat berbanding penyelidikan asas.
Jadi, masyarakat akan bertanya, yang mana lebih penting?
Soalan ini telah diutarakan zaman demi zaman. Tiada jawapan yang konkrit, kerana kedua-dua bentuk penyelidikan ini penting. Penyelidikan asas mungkin menghasilkan teknologi, dan teknologi akan diguna-pakai oleh masyarakat.
Dana penyelidikan perlu ditingkatkan sekiranya sesuatu negara mahu menjadikan Wawasan 2020 sesuatu yang realiti. Secara logiknya, hampir semua negara maju mempunyai universiti masing-masing dalam senarai universiti terbaik dunia. Untuk menjadi yang terbaik, penyelidikan yang bermutu merupakan asas utama. :-)
Cuma, apa yang berlaku di negara kita adalah kekurangan tenaga pakar, tetapi dengan pelbagai program pembangunan sumber manusia yang giat dijalankan, insha' Allah masalah ini akan dapat ditangani.
Pakcik berkata-kata: "tak membazir pun. Yang membazir bila geran penyelidikan yang diperolehi disalah gunakan". Itu masalah sikap!
No comments:
Post a Comment